Recent News

Read the latest news and stories.

Elak Mandul Depan Allah

ANAK YANG SOLEH DAN SOLEHAH ADALAH ASET DUNIA AKHIRAT

SIAPA SEBENARNYA MANDUL? Rasulullah s.a.w. Pernah bersabda : “Tahukah engkau siapakah orang yang mandul.” Berkata para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah s.a.w. berkata : “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”

APA RUJUKAN KITA? Kejayaan hakiki seseorang muslim itu adalah bila dia berjaya mendidik anak-anaknya menjadi mukmin yang soleh dan solehah. Dalam proses mendidik anak, kita perlu ada rujukan jelas dan benar. Dan rujukan kita sebagai orang Islam mestilah Al-Quraan dan As-Sunnah. Cari, gali dan fahami dari kedua sumber tersebut. Kemudian amalkan… jangan banyak soal atau banyak alasan kerana apa yang diberi ilmu oleh Allah dalam Al-Quraan adalah panduan yang sungguh lengkap dan amat berkesan. Kemudian di datangkan penerangan lebih jelas menerusi hadith-hadith yang disampaikan oleh. KekasihNya Nabi Muhammad s.a.w.

ANTI-HADITH SESAT LAGI MENYESATKAN! Bila berbicara tentang hadith ini, kita perlu yakin ia adalah salah satu sumber dari dua sumber utama dalam Islam selain Al-Quraan. Jangan kita terpengaruh dengan dakyah dan pemahaman yang sesat dan menyesatkan. Rujuklah kepada ulama-ulama dan ilmuan Islam. Jangan kita terpengaruh dengan golongan yang menafikan Hadith atau anti-hadith seperti kassim Ahmad dan pengikutnya. Anda mungkin tahu perkembangan terkini tentang seminar yang dilakukan oleh Kassim Ahmad and the geng di Putrajaya.

KENYATAAN YANG MENYIMPANG DAN MENYESATKAN. Beberapa kenyataan menyimpang telah diutara seperti menafikan kalimah shahadah, menafikan Rasulullah sebagai Rasul, menganggap rambut bukan aurat dan macam-macam lagi yang bercanggah. Ini pemikiran yang sesat dari pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah! Moga kita jauhi golongan ini. Saya yakin Kasim Ahmad ini banyak guna akal yang terhad dalam mentafsir pemahaman tentang syariat Islam dan mereka yang menjadi rujukanna adalah bukan dari kalangan ulama sebaliknya terpengaruh dengan pandangan orientalis dan sarjana Barat yang bukan Islam.

BILA NIPISNYA IMAN… Saya amat sensitif bila ada golongan sesat mula masuk ke dalam masyarakat yang boleh menyesatkan ummmah Islam, menyimpang jauh dari landasan Syariah. Mungkin juga sistem pendidikan yang dilaluinya sejak kecil tidak berdasarkan apa yang Al-Quraan gariskan dan jauh dari sunnah, maka roh Islamnya tak ada, atau terlalu nipis asas aqidahnya sehingga senang dipengaruhi oleh pemikiran Barat. Inilah bahayanya jika belajar luar negara dengan orang bukan Islam tanpa adanya asas akidah yang mantap yang sepatutnya ditanamkan sejak awal usia, maka mudahlah terpesong dari lansadan Islam yang sebenar.

CONTOHI LUKMANUL HAKIM. Dalam Al-Quran dan Al-Hadith digariskan secara jelas apa yang perlu kita ajarkan kepada anak-anak kita dan bagaimana kita mendidiknya mengikut masa dan umur yang sesuai. Banyak panduan yang diajarkan, tinggal lagi samada kita nak ikut atau kita abaikan. Dalam Quran, kisah Lukmanul Hakim dengan anaknya amat popular dan dijadikan rujukan dalam pendidikan anak-anak oleh setiap ibu bapa yang ada roh Islam. Lukmanul Hakim menekankan 2 aspek utama yang menjadi ‘framework’ penting dalam mendidik anak-anak. Jika diikuti secara bersungguh-sungguh ketiga asas penting ini, hidup ibubapa dan anak-anak akan berjaya bukan hanya di dunia malah bahagia bila berada di alam sana, alam yang menentukan kita bahagia atau derita buat selama-lamanya.

AKIDAH DAN AKHLAK. Antara asas penting yang menjadi tunjang dalam pendidikan anak-anak yang dipraktikkan oleh Lukmanul Hakim dalam mendidik anak-anaknya ialah akidah dan akhlak. Dapam aspek akidah bermaksud mengesakan Allah dan menuruti segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Sementara akhlak hasil dari akidah yang mantap ditanamkan oleh ibubapa. Sifat, sikap dan akhlak anak-anak mudah dibentuk bila akidahnya kita beri penekanan dari awal lagi. Isu derkaha terhadap kedua ibubapa yang menjadi penyebab utama masyarakat Barat kucar-kacir, isu gejala sosial yang semakin serius sekarang ini, isu rasuah, isu riba’ dan isu dalam kepimpinan negara dapat diselesaikan bila anak-anak atau generasi madani dapat dilahirkan melalui sistem pendidikan Islam yang sebenar.

KISAH LUKMANUL HAKIM. Kisah Lukmanul Hakim ini telah Allah rakamkan dalam kitabNya sebagai pedoman dan panduan buat kita semua dalam mendidik anak-anak yang cemerlang dunia akhirat. Kita dapat hayatinya dan fahaminya sepertimana yang Allah ceritakan dalam Surah Luqman ayat 13–19 yang bermaksud:

“Dan (Ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi nasihat kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar ….. Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.

RASULULLAH S.A.W. TELAH TUNJUK CARANYA. Dalam hadith pula banyak panduan lebih detail dan lengkap yang Rasulullah s.a.w. ajarkan agar kita dapat ikuti. Berdasarkan ‘framework’ di atas, kita dikehendaki mempunyai ilmu yang lebih dalam mengenai kaedah mendidik anak-anak. Rasulullah s.a.w. ada sebaik-baik bapa dan datuk. Anak-anakdan cucu-cucunya mendapat pendidikan dan layanan yang sungguh hebat daripada badinda. Bukan itu sahaja, anak-anak para sahabat juga mendapat limpahan kasih sayang baginda Rasulullah s.a.w. Saya akan berikan beberapa kisah bagaimana baginda melayan kanak-kanak dan apa pendapat Rasulullah kepada ibubapa agar anak-anaknya membesar subur dengan nilai-nilai Islam.

PENTINGKAN ANAK BUKANNYA HARTA DUNIA. Secara keseluruhannya. Rasulullah s.a.w. ada tinggalkan kita banyak hadith berkaitan pendidikan anak-anak. Kita tak tahu, tak jumpa atau tak faham itu soal kedua. Itu salah kita, hakikatnya semua telah tersedia tinggal lagi nak kita amalkan sahaja. Tak perlu kita ikut orang bukan Islam kerana pendidikan anak-anak ini amat kritikal dan signifikan dalam melahirkan ganerasi yang faham dan amalkan syariat. Islam. Jika bukan anak kita, siapa lagi kita nak harapkan? Bukankah anak-anak kita salah satu harta jariah kita di dunia ini? Tak kan kita taknak melahirkan anak-anak soleh dan solehah yang bukan sekadar ingat tapi sentiasa mendoakan kita bila kita di alam barzakh yang sunyi sepi dan amat menyeksakan? Marilah kita bersungguh-sungguh dan beri perhatian yang jitu dalam mendidik anak-anak, bukan hanya pentingkan kerjaya dan pengumpulan aset dunia semata-mata.

KISAH-KISAH MENARIK. InshaaAllah akan datang saya akan kongsikan beberapa tips penting dalam mendidik anak-anak yang dikutip dari Al-Quraan dan Al-Hadith serta ulama-ulama yang muktabar juga orang-orang soleh. Saya tutup perkongsian saya kali ini dengan beberapa kisah menarik antara Rasulullah s.a.w. dengan kanak-kanak. Moga ianya memberi motivasi dan inspirasi kepada kita dalam usaha melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah.

KISAH PERTAMA. Rasulullah s.a.w. kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda Berkata Aqra’ : “Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata : “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

KISAH KEDUA. Dikisahkan seorang anak kecil dibawa kepada Rasulullah s.a.w.. supaya di doakan dimohonkan berkah dan di beri nama. Kanak-kanak tersebut di pangku oleh baginda. Tiba-tiba anak kecil itu kencing, lalu orang-orang yang melihatnya berteriak. Rasulullah s.a.w. bersabda, jangan di putuskan anak yang sedang kencing, biarkanlah dia selesai dahulu kencingnya. Kemudian baginda pun berdoa dan memberi nama. Selepas itu baginda membisikkan kepada orang tuanya supaya jangan anggap baginda tidak senang terkena air kencing anaknya itu. Ketika mereka telah pergi, baginda mencuci sendiri pakaian yang terkena kencing anak kecil itu tadi.

KISAH KETIGA. Berkata Imam al-Manawi rahimahullah, ”Malah dia menjadi amat senang hati kerana Rasulullah s.a.w sendiri berbicara dengannya. Hatinya menjadi riang. Dia bangga kerana Baginda melayannya. Habis satu keluarga diceritakan mengenai hal ini. Rasulullah bercakap dengan saya! Baginda bertanya pada saya! Dia menyibukkan dirinya dengan hal ini sehingga dengannya hilanglah rasa sedihnya. Si kecil ini mempunyai kebijaksanaan dan cerdik, oleh kerana itulah Baginda s.a.w berbicara dengannya begitu.”

KISAH KEEMPAT. Pernah di satu pagi hari raya, Rasulullah s.a.w. bertemu seorang kanak-kanak yang menangis di tepi jalan. Baginda terharu dan bertanya, “Mengapa engkau menangis?” Kanak-kanak tersebut menjawab, “Ayah saya telah mati syahid sementara ibu saya sudah berkahwin lain. Nasib saya terbiar dan saya tidak ada baju barn dan lain-lain persediaan untuk berhari raya.” Rasulullah s.a.w. mengalirkan air mata mengenangkan nasib kanak-kanak tersebut. Baginda berkata: “Sukakah kamu kalau aku menjadi ayahmu dan Aisyah (isteri Rasulullah) menjadi ibumu?” Sungguh tidak terkira gembiranya rasa hati kanak-kanak itu, bila mendengar Rasulullah s.a.w. yang mulia menjadi ayahnya. Baginda pun membawa pulang kanak-kanak tersebut ke rumahnya. Kanak-kanak itu dimandikan, dipakaikan dengan baju raya dan dijamu makan. Betapa gembiranya hati kanak-kanak itu, begitulah gembiranya hati Rasulullah s.a.w. kerana dapat menggembirakannya.

KISAH KELIMA. Rasulullah s.a.w. suka bermain-main (menghibur) dengan anak-anak dan kadang-kadang beliau memangku mereka. Beliau menyuruh Abdullah, Ubaidillah, dan lain-lain dari anak-anak Al-Abbas r.a. (Bapa saudara baginda) untuk berbaris lalu berkata, Siapa yang terlebih dahulu sampai kepadaku akan aku beri sesuatu (hadiah). Mereka pun berlumba-lumba menuju beliau, kemudian duduk di pangkuannya lalu Rasulullah s.a.w. menciumi mereka dan memeluknya.

MENGASIHI BARU KITA DIKASIHI. Demikianlah sebahagian kisah Rasulullah s.a.w. dengan kanak-kanak. Baginda sungguh menyanyangi mereka dan mengasihi kanak-kanak adalah sunnah. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang mafhumnya siapa yang tidak kasih kepada kanak-kanak, pasti dia tidak akan dikasihi. Moga perkongsian saya kali ini memberi manafaat dan saya doakan anda pembaca berjaya dalam mendidik anak-anak menjadi mukmin yang soleh dan solehah. Sayangilah kanak-kanak kerana meraka adalah golongan yang bersih dari dosa dan menjadi inspirasi juga motivasi kepada kita semua. Wallahua’lam.

You may also like

Comments

No Comments

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *