Recent News

Read the latest news and stories.

AWAS dengan MARAH!

Bayangkan jika anda kena marah… apa reaksi anda? apa yang anda rasa? bagaimana fizikal anda? Bayangkan jika anda memarahi orang lain, apa yang merasa alami? tentu serupa dengan apa yang kita aalami semasa kita dimarahi…

MARAH ITU MEMUDARATKAN. Marah hak milik semua orang. Semua orang berhak marah tapi kena ingat, bahawa tak semua berhak dimarahi! Saya berpesan kepada diri sanya sendiri dan kepada semua pembaca agar berhati-hati dengan marah. Marah boleh mendatangkan kemudaratan jika tidak kena cara dan kaedahnya. Sebab itu Nabi s.a.w. ada banyak kali berpesan tentang marah. Dan baginda s.a.w. mengajar pula bagaimana untuk manangani marah dan berdepan dengan situasi yang boleh mendatangkan marah. Mari kita ikuti sebuah hadith yang berkait terus dengan marah dan lihat sejauhmana pentingnya marah pada pandangan Rasulullah s.a.w.

PESAN NABI, “JANGAN MARAH!” Imam Bukhari meriwayatkan, Abu Hurairah menceritakan bahawa seorang lelaki datang meminta nasihat daripada Rasulullah s.a.w, baginda menjawab “ Jangan marah”. Lelaki tersebut mengulangi soalannya. Rasulullah s.a.w menjawab “Jangan marah”. Soalan diulang lagi beberapa kali, lantas baginda mengulang juga jawapan yang sama. Di dalam riwayat Imam Tarmizi, lelaki itu berkata “Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku dan janganlah terlalu banyak, moga aku senang memahaminya”. Lantas baginda menjawab “Jangan marah”.

KESAN BURUK BILA MARAH. Pembaca sekalian… jika dilihat pada hadith di atas, mengambarkan bahawa kritikalnya keadaan bila kita marah dan sudah pasti kesan dari marah itu juga dahsyat! Pengulangan yang baginda s.a.w. ucap itu menunjukkan ia perlu diberi perhatian yang khusus dan penting! Kita banyak kali baca di dada-dada akhbar akibat marah, sampai berlakunya pergaduhan dan sampai ada yang membawa kematian. Saya masih ingat kes berebut remote tv dua beradik sampai berlakunya kematian. Walau ianya tidak sengaja tapi ia berpunca dari perasaan marah yang tak dapat dikawal.

JIKA ISU AGAMA MEMANG DIBENARKAN MARAH. Menurut Sheikh Sa’id Hawwa, tak mungkin ada manusia yang boleh terlepas dari diserang dengan perasaan marah. Malah Rasulullah s.a.w. yang maksum (terpelihara dari dosa) pun pernah marah. Dalam Islam, ada marah yang diizinkan dengan syarat ianyanya tidak berlandaskan nafsu yang mendorong kepada tindakan-tindakan yang dilarang oleh syara’ seperti menyumpah dengan perkataan kesat dan jelek, mencederakan, membunuh atau melakukan perbuatan khianat. Manakala marah apabila isu-isu agama dipermainkan, isu akidah diperlekehkan, amalan syariat diremehkan dan lain-lain yang berkaitan itu dibenarkan malah wajib kita marah bila berlakunya hal sedemikian.

MARAH MEROSAKKAN HATI. Hakikatnya kita perlu sedar dan faham bahawa marah adalah pintu masuknya syaitan ke dalam hati kita. Ketika membicarakan berkenaan pintu-pintu yang digunakan oleh syaitan untuk masuk dan menguasai hati manusia, Imam Ghazali menyenaraikan marah adalah pintu yang pertama. Demikian sahabat-sahabatku para pembaca betapa bahayanya marah. Bila marah menerpa hati, risiko berlakunya hal-hal di luar kawalan amat tinggi. Berdasarkan pengalaman saya sebagai kaunselor, marah boleh menyebabkan perceraian, perbalahan yang panjang, permusuhan dalam keluarga, pergaduhan dan dendam yang tidak berkesudahan antara sahabat baik yang dulunya tidur sebantal dan kerja sepejabat. Astaghfirullah… mengucap panjang bila kita faham betul-betul kesan negatif bila marah datang mneyerang dan diri tak dapat mengawalnya…

CARA MENANGANI MARAH. Persoalannya sekarang… macamana kita nak menghadapi marah dan apa kaedah yang sesuai dan berkesan? Jika anda ada ilmu tantangnya saya alu-alukan sahabat pembaca share dengan saya dan pembaca-pembaca lain dalam komen di bawah. Sheikh Ibnu `Uthaimin menyebut di dalam Syarah Riyadussolihin dengan membuat kesimpulan daripada beberapa hadis yang berkait dengan marah di mana beliau menyatakan bahawa apabila seseorang itu marah, maka ia hendaklah menyebut (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ) dan kemudiannya segera berwudhu’. Sekiranya sedang berdiri, maka dia hendaklah duduk dan sekiranya sedang duduk, dia hendaklah berbaring. Sekiranya dibimbangi masih tidak dapat mengawalnya, maka dia perlu beredar dari tempat atau orang yang dimarahinya itu.

TAUHID ADALAH BENTENG. Di dalam kitab Fathu al-Baari pula Al-Hafiz Ibnu Hajar menukilkan pandangan Imam al-Tuufi yang menyatakan bahawa cara paling berkesan untuk mengawal perasaan marah ialah dengan menghadirkan tauhid yang hakiki di dalam hati bahawa setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan Allah dan setiap orang yang melakukan sesuatu adalah pelaksana terhadap ketentuan tersebut.

AMALKAN SUNNAH. Saya menyeru sahabat pembaca semua agar kita berusaha sedaya upaya menjadi seorang yang mampu menghadapi marah. Kita perlu belajar dan amalkan secara konsisten beberapa amalan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. bagaimana menghadapi dan menangani marah. Dan ingatlah bahawa kita dianggap benar-benar gagah dan hebat bila kita mampu kawal marah dan selamat dari kesan buruk dari marah tersebut. Gagah fizikal tidak semestinya gaha mental dan spiritual. Gagah fizikal dan gagah spiritual itulah yang terbaik. InshaaAllah. Bukan sekadar sado fizikal saja ya! 🙂

JADILAH MUSLIM YANG KUAT! Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud “Tidaklah seseorang itu dikira kuat dan gagah apabila ia menang bergusti, tetapi seseorang dianggap benar-benar kuat dan gagah apabila ia mampu mengawal dirinya ketika marah”. Justeru, kita perlulah berusaha untuk menjadi kuat dengan melawan dan mengawal perasaan marah apabila ianya menjelma.

Sekadar itu saja sharing saya untuk kali ini, moga-moga artikel simple saya ini dapat memberi kita semua manafaat yang banyak dan berguna kepada kita dalam usaha cemerlang di dunia dan bahagia di akhirat. Ameen.

You may also like

Comments

No Comments

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *